Larangan Bersumpah Dengan Menggunakan Selain Dari Nama Allah Taala
Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung lagi Maha Mulia melarang kamu bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu
Sesiapa Terlanjur Bersumpah Dengan Al Laata Dan Al Uzza Maka Hendaklah Dia Segera Mengucap Kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang bersumpah dan dalam sumpahnya dia terlanjur berkata dengan Al-Laati maka hendaklah dia segera mengucap لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ dan sesiapa mengatakan kepada temannya kemarilah kamu untuk berjudi denganku maka hendaklah dia bersedekah
Galakan Kepada Seseorang Yang Terlanjur Bersumpah Maka Dia Tahu Perkara Yang Lebih Baik Daripada (Sumpah) Itu, Agar Melakukan Perkara Yang Lebih Baik Tadi Dan Membayar Denda (Kifarat) Dari Sumpahnya Itu
Hadis Abu Musa Al-Asy'ariy r.a katanya:
Ketika aku bersama dengan sekelompok golongan Al-Asy'ariy pergi kepada Nabi s.a.w meminta unta untuk mengangkut barang-barang yang kami bawa. Baginda bersabda: Demi Allah, aku tidak dapat memberi kepada kamu, aku tidak memiliki apa-apa untuk diberi kepada kamu semua. Kemudian setelah diam beberapa ketika, dia telah diberi unta oleh seseorang kemudian memerintahkan kepada kami untuk menggunakan tiga ekor unta tersebut yang kesemuanya berwarna putih. Ketika kami berangkat, aku berkata atau (setengah dari kalangan kami berkata): Allah tidak akan memberi keberkatan kepada kita. Dahulu ketika kita datang kepada Rasulullah s.a.w untuk meminta kenderaan (unta) baginda terlanjur bersumpah tidak akan memberikan kepada kita. Tetapi sekarang baginda memenuhi permintaan kita. Kemudian mereka datang menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan hal itu kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Bukan aku yang telah memberi kepada kamu semua, tetapi Allah yang telah memberi kepada kamu. Demi Allah, aku berani menyatakan bahawa sekiranya aku telah terlanjur bersumpah lalu aku tahu ada perkara yang lebih baik dari sumpahku itu, maka aku akan membayar denda (kifarat) akibat dari sumpahku tadi dan aku akan melakukan perkara yang lebih baik itu
Hadis Abdul Rahman bin Samurah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu memohon untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika pimpinan diberikan kepada kamu bukan kerana permohonan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin tanpa menghadapi banyak masalah. Jika kamu telah terlanjur bersumpah, kemudian kamu melihat ada sesuatu yang lebih baik daripada sumpahmu itu, maka hendaklah kamu membayar denda iaitu kifarat dari sumpahmu tadi dan hendaklah kamu melakukan sesuatu yang lebih baik itu
Pengecualian
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Nabi Sulaiman a.s memiliki seramai enam puluh orang isteri. Suatu ketika dia pernah berkata, malam ini aku pasti akan menggauli semua isteriku, sehingga kesemua daripada mereka akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda (tentera berkuda) untuk berjihad di jalan Allah. Ternyata mereka semua tidak mengandung kecuali seorang sahaja itupun hanya melahirkan anak yang cacat. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya Nabi Sulaiman a.s mengecualikan (berkata Insya Allah) maka setiap daripada mereka akan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda untuk berjihad di jalan Allah
Larangan Sentiasa Bersumpah Dalam Hal hal Yang Boleh Menyakitkan Orang Lain Walaupun Perkara Yang Tidak Diharamkan
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Demi Allah! Salah seorang di antara kamu yang biasa bersumpah di hadapan isterinya (keluarganya) maka dia akan lebih berdosa di sisi Allah daripada dia membayar denda (kifarat) yang telah diwajibkan oleh Allah kerana melanggar sumpahnya
Orang Kafir Yang Bernazar, Jika Dia Memeluk Islam, Maka Dia Harus Menunaikan Nazarnya
Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Sayidina Umar bin Al-Khattab pernah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku pernah bernazar pada zaman jahiliah untuk beriktikaf satu malam di Masjidilharam. Kemudian Baginda bersabda: Tunaikanlah nazarmu itu
Ancaman Terhadap Seseorang Yang Menuduh Hamba Miliknya Melakukan Zina
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Abu Al-Qasim s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang menuduh hamba miliknya melakukan zina maka pada Hari Kiamat kelak dia akan dikenakan hukuman kecuali tuduhannya itu adalah benar
Hamba Yang Dimiliki Itu Sebaik Baiknya Diberi Makanan Seperti Yang Dimakan Oleh Tuannya, Begitu Juga Dalam Masalah Pakaiannya. Juga Jangan Membebankannya Dengan Kerja Yang Tidak Termampu Dilakukanya
Hadis Abu Zar r.a katanya:
Pernah terjadi kata-kata kasar antara aku dan saudaraku di mana ibunya bukan berbangsa Arab (hamba) aku telah menghinanya dari pihak ibunya. Maka dia mengadukan halku kepada Nabi s.a.w. Kemudian aku menemui Nabi s.a.w lalu baginda bersabda: Wahai Abu Zar! Sesungguhnya akhlakmu masih seperti orang-orang jahiliah. Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Bukankah seseorang yang mencaci orang lain itu sama dengan mencaci ayah dan ibunya sendiri. Baginda bersabda lagi: Wahai Abu Zar! Sesungguhnya akhlakmu itu masih seperti orang-orang jahiliah, mereka itu adalah saudara-saudaramu sendiri, mereka dijadikan oleh Allah berada di bawah kekuasaanmu. Maka berilah kepada mereka makanan seperti yang kamu makan. Berilah kepada mereka pakaian seperti yang kamu pakai dan janganlah kamu memaksa mereka melakukan kerja yang mereka tidak mampu melakukannya. Sekiranya terpaksa dilakukan maka hendaklah kamu turut membantunya
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila khadam (pelayan) salah seorang di antara kamu telah selesai memasak kemudian menghidangkannya, sesungguh dia adalah orang yang telah menangani panas serta asap hidangan itu. Oleh itu kamu hendaklah mempelawanya menikmati masakan itu bersama-sama. Jika makanan itu sedikit maka hendaklah kamu memberikannya kepada pelayan itu satu atau dua suapan
Pahala Seorang Hamba Yang Setia Kepada Tuannya Dan Beribadat Kepada Allah Dengan Sebaik Baiknya
Hadis Ibnu Umar r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang hamba yang setia kepada tuannya dan menjalankan ibadat kepada Allah dengan baik, maka baginya pahala dua kali ganda
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bagi seorang hamba yang setia akan mendapat dua pahala
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Alangkah bahagianya seorang hamba yang ketika menjelang kematiannya dia selalu memperbaiki ibadatnya kepada Allah dan selalu setia kepada tuannya. Alangkah bahagianya dia!
No comments:
Post a Comment