Saturday, 17 December 2011

aurat di depan adik/abang ipar



Hubungan antara seorang wanita dan abang/adik iparnya hanyalah mahram muaqqat (mahram sementara), bukan mahram muabbad (mahram selamanya), di mana dia dibolehkan berkahwin dengan abang/adik iparnya itu jika ditakdirkan berlaku penceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal. Oleh itu, tidak harus ia membuka aurat di hadapan abang/adik iparnya, bersalaman dengannya dan berduaan termasuk keluar bermusafir tanpa orang lain.

Pandangan Allah terhadap kita perlu kita utamakan dari pandangan manusia. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

 “Sesiapa berusaha mencapai keredhaan manusia dengan menjadikan Allah murka kepadanya, Allah akan menyerahkannya kepada manusia. Sesiapa menjadikan manusia marah kepadanya dengan kerana ia mencari redha Allah, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan kepada manusia” (HR Imam at-Tirmizi dari ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8394)

Kuatkan diri, berpegang teguh dengan Syariat dan mohon kekuatan dari Allah, insya Allah mereka yang akan ikut anda nantinya, bukan anda yang ikut mereka. Banyak cara lain yang diharuskan Syariat untuk anda mengeratkan hubungan kekeluargaan (dengan keluarga sebelah suami), antaranya sering menziarahi mereka (bersama suami), peramah, suka membantu, tidak lokek wang ringgit dan sebagainya (semua itu akan memadamkan segala kesangsian orang lain terhadap anda di samping mereka akan menghormati anda, malah sampai masanya mereka akan mengikuti cara saudari).

Berbincanglah dengan bakal suami tentang hal tersebut dan capai kata sepakat sebelum berkahwin agar tidak ada perbalahan dengan suami apabila telah berkahwin nanti. Bagi seorang isteri, memadai dengan suami memahami pendiriannya pada peringkat awal sebelum orang lain turut memahaminya.


No comments:

Post a Comment