Larangan Menggunakan Gelaran Abu Al Qasim Dan Menerangkan Nama nama Yang Sesuai Atau Yang Disukai
Hadis Anas r.a katanya:
Seorang lelaki memanggil temannya di Baqie': Wahai Abu Al-Qasim! Lalu Rasulullah s.a.w berpaling ke arah orang yang memanggil itu. Orang itu terburu-buru berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak bermaksud memanggilmu. Tetapi aku memanggil si anu. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menggunakan nama dengan namaku, tetapi jangan menggunakan gelaran dengan gelaranku
Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Salah Seorang di antara kami mempunyai anak. Beliau menamakannya dengan nama Muhammad. Orang ramai berkata kepadanya: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah s.a.w. Lalu orang tersebut membawa anaknya yang diletakkan di atas belakang untuk menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sampai di hadapan Rasulullah s.a.w beliau berkata: Wahai Rasulullah! Anakku yang lahir ini, aku namakannya dengan nama Muhammad tetapi orang ramai berkata kepadaku: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menamakannya dengan namaku, tetapi jangan menggelarkannya seperti dengan gelaranku kerana akulah Qasim, aku mengasingkan di antara kamu
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Abu Qasim iaitu Rasulullah s.a.w bersabda: Berikanlah nama dengan namaku, tetapi jangan memberikan gelaran dengan gelaranku
Sunat Menukar Nama Yang Buruk Menjadi Nama Yang Baik Seperti Menukarkan Nama Barrah Kepada Zainab, Juwairiyah Dan Sebagainya
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya nama Zainab pada mulanya ialah Barrah. Ada orang mengatakan: Dia membersihkan dirinya. Lalu Rasulullah s.a.w menamakannya Zainab
Haram Memberikan Nama Dengan Malikul Amlak Dan Malikul Muluk Iaitu Raja Diraja
Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya nama yang paling tidak senonoh di sisi Allah, ialah mereka yang memberikan nama dengan Malikul Amlak. Ibnu Abu Syaibah menambahkan di dalam riwayatnya: Tidak ada Raja kecuali Allah s.w.t
Sunat Meletakkan Pada Lelangit Anak Yang Baru Lahir Dengan Buah Kurma Dan Membawanya Kepada Orang Yang Soleh Supaya Meletakkan Pada Lelangitnya Dan Harus Memberikan Nama Pada Hari Kelahirannya Serta Sunat Memberi Nama Dengan Abdullah, Ibrahim Dan Nama Para Nabi Yang Lain
Hadis Abu Musa r.a katanya:
Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. Lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma
Hadis Aisyah r.a:
Asma' binti Abu Bakar telah keluar sewaktu hijrah. Di mana beliau sedang sarat mengandung kepada Abdullah bin Az-Zubair. Beliau melalui Quba', ketika sampai di Quba' beliau melahirkan Abdullah. Setelah melahirkannya beliau keluar menemui Rasulullah s.a.w supaya baginda meletakkan sesuatu pada lelangit anaknya. Lalu Rasulullah s.a.w mengambil anak tersebut darinya dan baginda meletakkannya di dalam pangkuan baginda, kemudian baginda meminta buah kurma. Aisyah berkata: Kami harus mencarinya dahulu sebelum diberikan kepada baginda. Baginda meludahkannya ke dalam mulut anak tersebut, sehingga yang pertama masuk ke perutnya adalah ludahan Rasulullah s.a.w. Selanjutnya Asma' berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w. mengusap kepala anak tersebut, lalu mendoakannya dan menamakannya dengan nama Abdullah, kemudian apabila anak itu berumur tujuh atau lapan tahun, beliau datang untuk berbaiah kepada Rasulullah s.a.w kerana ayahnya Az-Zubair yang memerintahkan beliau berbuat demikian. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat anak itu menghadapnya, kemudian beliau berbaiah kepada baginda
Hadis Aisyah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w diajukan seorang bayi, lalu baginda memberkatinya dan meletakkan sesuatu pada lelangitnya
Hadis Sahl bin Saad r.a katanya:
Al-Munzir bin Abu Usaid ketika baru dilahirkan, beliau telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda meletakkan di atas pahanya, sedangkan pada ketika itu Abu Usaid duduk, tetapi perhatian Nabi s.a.w tertumpu kepada sesuatu di hadapan baginda, lalu Abu Usaid menyuruh seseorang mengangkat anaknya dari atas paha Rasulullah s.a.w dan memindahkannya. Apabila Rasulullah s.a.w tersedar, baginda bertanya: Mana anak itu? Abu Usaid menjawab: Kami memindahkannya, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bertanya: Siapa namanya? Abu Usaid menjawab: Si anu, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak, tetapi namanya adalah Al-Munzir. Jadi, pada hari itu, Rasulullah s.a.w menamakannya dengan nama Al-Munzir
Harus Bagi Seseorang Memanggil Anak Selain Dari Anaknya Dengan Panggilan Wahai Anakku Dan Disunatkan Hal Yang Sedemikian Untuk Beramah Mesra
Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya
Tiada seorang pun yang bertanya tentang Dajal kepada Rasulullah s.a.w lebih banyak daripada pertanyaanku kepada baginda dalam persoalan yang sama. Maka baginda bersabda: Wahai anakku! Apakah yang membuatkan kamu bersusah payah untuk memikirkannya? Sesungguhnya dia tidak akan membahayakanmu. Aku berkata: Orang ramai beranggapan bahawa dia akan membawa air yang banyak dan gunung-gunung roti. Rasulullah s.a.w bersabda: Yang lebih dari itu, mudah saja bagi Allah
Meminta Izin
Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
Aku berada di dalam majlis orang-orang Ansar di Madinah. Tiba-tiba Abu Musa datang dengan ketakutan. Kami bertanya: Kenapa dengan engkau? Abu Musa menjawab: Sesungguhnya Umar menyuruhku supaya datang kepadanya. Aku pun datang, setelah berada di hadapan pintunya, aku memberi salam sebanyak tiga kali, tetapi tidak ada jawapan, lalu aku pun pulang, tetapi setelah aku berjumpa lagi dengannya beliau bertanya: Apakah yang menghalangimu datang kepadaku? Beliau menjawab: Aku telah datang kepadamu, aku memberi salam tiga kali di hadapan pintumu. Setelah tidak ada jawapan aku pun terus pulang. Berdasarkan peristiwa tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu minta izin tiga kali kemudian tidak mendapat jawapannya, maka hendaklah beliau pulang
Hadis Abu Musa Al-Asy'ariy r.a:
Abu Musa telah datang menemui Umar bin Al-Khattab lalu mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abdullah bin Qais. Tetapi tidak ada jawapan, maka sekali lagi beliau mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abu Musa, Assalamualaikum, ini Al-Asy'ariy. Kemudian beliau beredar untuk pulang, tiba-tiba Umar muncul dan berkata: Datanglah dahulu, datanglah dahulu. Setelah Abu Musa datang, Umar bertanya: Wahai Abu Musa! Mengapa engkau cepat sangat hendak pulang? Kami sedang melakukan suatu pekerjaan. Abu Musa berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Minta izin itu tiga kali. Jika engkau mendapat izin, maka engkau boleh masuk. Tetapi, jikalau tidak mendapat izin, maka pulanglah
Makruh Menjawab Aku Bagi Pengunjung Apabila Ditanya Kepadanya Siapa Ini?
Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Aku datang kepada Nabi s.a.w lalu memanggil baginda. Nabi s.a.w bertanya: Siapa ini? Aku menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w pun keluar seraya berucap: Aku, aku
Haram Memandang Ke Dalam Rumah Orang Lain
Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan
Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya seseorang telah mengintai pada salah satu bilik Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w menghampirinya dengan membawa anak panah bermata lebar dan aku melihat seolah-olah Rasulullah s.a.w mengugut untuk menikamnya
Hadis Abu Hurairah r.a:
Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesiapa yang menjenguk-jenguk ke dalam rumah sesuatu kaum tanpa mendapat izin mereka, maka dihalalkan bagi mereka untuk mencungkil matanya
No comments:
Post a Comment