Meratapi Kematian
Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya:
Kami sedang berada di sisi Rasulullah s.a.w ketika salah seorang dari puteri baginda menyuruh seseorang untuk memanggil baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri (cucu) baginda itu berada dalam keadaan nazak. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milikNya dan apa yang diberi oleh Allah juga milik-Nya. Segala sesuatu di sisiNya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah. Orang suruhan itu kemudiannya kembali menghadap Rasulullah s.a.w dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian Nabi s.a.w berdiri diikuti oleh Saad bin Ubadah dan Muaz bin Jabal r.a. Akupun (Usamah bin Zaid) turut berangkat bersama-sama mereka. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah s.a.w dan diserahkan anak (dari puteri baginda) yang nafasnya masih bergerak-gerak (tersekat-sekat), seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah s.a.w mulai berlinangan. Saad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambaNya yang mempunyai rasa belas-kasihan
Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Saad bin Ubadah r.a telah mengalami sakit tenat dan diadukan mengenai keadaannya, lalu baginda s.a.w pergi menziarahinya bersama Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas dan Abdullah bin Mas'ud r.a. Ketika baginda masuk menemuinya, didapati dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah dia telah meninggal dunia? Orang ramai yang hadir di situ menjawab: Belum lagi, wahai Rasulullah. Kemudiannya Rasulullah s.a.w mulai menangis. Ketika orang ramai melihat tangisan Rasulullah s.a.w mereka pun ikut menangis. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kamu mendengar bahawa Allah tidak menyeksa hanyalah kerana air mata dan Allah tidak juga menyeksa disebabkan hati yang dukacita tetapi Dia menyeksa adalah kerana ini (baginda menunjuk ke lidah baginda) ataupun Dia mengasihi
Bersabar Ketika Mula Mula Ditimpa Penyakit
Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sabar adalah pada goncangan (timpaan) yang pertama
Mayat Terseksa Kerana Ratapan Ahli Keluarganya
Hadis Umar r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya mayat itu akan terseksa kerana tangisan ahli keluarga terhadapnya
Hadis Ibnu Umar r.a:
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Mulaikah r.a katanya: Aku sedang berada di sisi Ibnu Umar, sementara itu kami menunggu jenazah Ummi Aban binti Othman. Di sampingnya juga ada Amru bin Othman. Kemudian datanglah Ibnu Abbas yang dipimpin oleh seseorang. Ibnu Abbas ditunjukkan ke tempat Ibnu Umar oleh pembawanya tadi. Dia datang dan duduk di sebelahku dan aku berada di tengah-tengah antara kedua-duanya. Tiba-tiba terdengar suara dari rumah. Lalu Ibnu Umar berkata seolah-olah menghalang Amru untuk berdiri: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya mayat itu akan terseksa kerana tangisan ahli keluarganya. Dia berkata lagi: Suruhlah Abdullah menghantar seorang utusan. Ibnu Abbas pula bercerita: Kami beriringan dengan Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab, sehinggalah kami sampai di Baida', tiba-tiba didapati seseorang berteduh di bawah sebatang pokok. Amirul Mukminin berkata kepadaku: Pergilah lihat siapakah orang itu! Akupun pergi dan aku dapati orang itu adalah Suhaib. Aku kembali kepada Umar dan berkata: Engkau menyuruhku untuk mengetahui siapakah orang itu. Ternyata dia adalah Suhaib. Umar berkata: Suruhlah dia mengikut kita! Aku berkata: Walaupun dia bersama keluarganya? Umar berkata lagi: Walaupun dia bersama keluarganya dan boleh jadi Ayyub berkata: Suruhlah dia mengikut kita! Apabila kami tiba, tidak lama kemudiannya Amirul Mukminin terkena musibah. Lalu Suhaib datang sambil meratap: Wahai saudaraku! Wahai temanku! Umar r.a berkata: Tidakkah kamu tahu atau tidakkah kamu pernah dengar (Ayyub berkata ataupun seseorang berkata: Tidakkah kamu tahu atau tidakkah kamu pernah dengar) bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya mayat akan terseksa disebabkan oleh sebahagian dari tangisan ahli keluarganya. Ibnu Umar berkata: Abdullah telah menghantar seorang utusan (perempuan) manakala Umar pula bercakap-cakap dengan orang ramai. Kemudian aku (Ibnu Abbas) bangun dan pergi berjumpa Aisyah. Aku ceritakan kepadanya apa yang dikatakan oleh Ibnu Umar. Lalu dia berkata: Tidak, demi Allah! Rasulullah s.a.w sama sekali tidak pernah berkata: Sesungguhnya mayat akan terseksa disebabkan tangisan seseorang tetapi baginda bersabda: Sesungguhnya orang kafir ditambah seksaannya oleh Allah disebabkan tangisan ahli keluarganya. Sesungguhnya, Allah adalah .... Yang bermaksud: Allah adalah Zat yang menjadikan tawa dan tangis serta seseorang yang berdosa tidak akan memikul beban dosa orang lain
Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang diratapi ke atasnya, maka dia akan diseksa disebabkan ratapan ke atasnya pada hari Kiamat kelak
Larangan Keras Terhadap Perbuatan Meratap
Hadis Aisyah r.a katanya:
Ketika datang berita kepada Rasulullah s.a.w mengenai gugurnya Ibnu Harithah, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah r.a Rasulullah s.a.w duduk dan kelihatan bersedih hati. Aisyah melihat dari celah pintu. Lalu datanglah seseorang menceritakan perihal isteri Jaafar dan memberitahu mengenai ratapan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w menyuruh orang tersebut pergi melarang mereka. Kemudian orang itu pergi dan kembali semula serta memberitahu bahawa: Mereka tidak menghiraukan aku! Rasulullah s.a.w menyuruhnya untuk kali kedua supaya pergi melarang isteri Jaafar tersebut. Kemudiannya orang itu pergi dan kembali sekali lagi serta memberitahu: Demi Allah! Kami tidak berjaya memujuk mereka, wahai Rasulullah! Aisyah berkata: Kalau tidak salah aku, Rasulullah s.a.w bersabda: Pergilah dan sumbatlah tanah ke mulut mereka supaya mereka berhenti dari meratap! Aisyah berkata: Semoga Allah menutup mulut kamu dengan tanah. Demi Allah! Engkau tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w dan engkau tidak ingin meninggalkan Rasulullah s.a.w bebas dari kesusahan
Hadis Ummu Atiyyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w menerima janji dari kami pada waktu baiah iaitu ikrar setia, agar kami tidak meratapi mayat. Tidak ada wanita yang turut berbaiah kecuali hanyalah lima orang iaitu Ummu Sulaim, Ummul Ala', anak perempuan Abu Sabrah iaitu isteri Muaz atau puteri Abu Sabrah isteri kepada Muaz
Larangan Terhadap Kaum Wanita Mengiringi Jenazah
Hadis Ummu Atiyyah r.a katanya:
Kami kaum wanita telah dilarang mengiringi jenazah tetapi bukanlah bererti kami dilarang keras dari mengiringi jenazah
Memandikan Mayat
Hadis Ummu Atiyyah r.a katanya:
Nabi s.a.w masuk ke tempat kami dan kami ketika itu sedang memandikan anak perempuan baginda. Beliau kemudian bersabda: Mandikanlah dia sebanyak tiga kali, lima kali atau lebih banyak lagi bila kamu merasakannya perlu, begitu juga mandikanlah dia dengan air dan daun bidara. Akhirilah basuhan tersebut dengan menggunakan air kapur barus atau sedikit kapur barus. Setelah selesai, beritahukanlah kepadaku. Apabila kami selesai, kami memberitahu baginda, lalu baginda menghulurkan kain baginda kepada kami sambil bersabda: Pakaikanlah kain ini kepadanya!
Mengapani Mayat
Hadis Khabbab bin Al-Arat r.a katanya:
Kami berhijrah bersama Rasulullah s.a.w di jalan Allah demi mengharapkan keredaan Allah, maka sudah sewajarnya kami diganjarkan dengan pahala oleh Allah. Di antara kami ada orang yang tidak sempat menikmati nikmat ganjaranNya di dunia, antaranya Mus'ab bin Umair. Dia terbunuh pada perang Uhud. Tidak ditemukan satu benda pun untuk mengapan mayatnya kecuali sehelai selimut. Apabila kami tutupkan selimut itu pada kepalanya, maka kedua kakinya keluar (tidak tertutup) dan ketika selimut itu kami tutupkan pada kedua kakinya, kepalanya pula kelihatan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tutupkanlah selimut itu di kepalanya, manakala kedua kakinya tutuplah dengan izkhir iaitu sejenis rumput yang berbau wangi. Namun di antara kami ada juga orang-orang yang sempat mengecapi hasilnya iaitu berkesempatan merasakan ganjaranNya di dunia
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w dikapan dengan tiga lapis kain tenun putih yang diperbuat dari kapas tanpa ada baju ataupun serban. Adapun mengenai Hullah iaitu selimut Yaman, maka orang ramai keliru mengenainya. Memang Hullah itu dibeli dan disediakan untuk mengapan baginda, tetapi selimut itu tidak digunakan dan ditinggalkan. Baginda dikapan dengan tiga lapis kain tenun putih dan selimut itu diambil oleh Abdullah bin Abu Bakar. Abdullah berkata: Aku akan menyimpannya untuk mengapan diriku nanti. Kemudiannya dia berkata: Seandainya Allah meredai ianya adalah untuk Nabi-Nya, tentu Allah akan mengapan baginda dengan selimut itu. Kemudiannya dia menjual selimut itu dan menyedekahkan hasil penjualannya
Menutup Seluruh Tubuh Mayat
Hadis Saidatina Aisyah, Ummul Mukminin r.a katanya:
Ketika Rasulullah s.a.w wafat seluruh tubuh baginda dilitupi dengan kain Hibarah iaitu sejenis kain buatan Yaman
No comments:
Post a Comment