Saturday, 7 January 2012

Hukum hudud



Hukuman Mencuri Dan Kadarnya

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w memotong tangan seseorang yang mencuri harta sebanyak satu perempat dinar ke atas

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda tidak akan memotong tangan seseorang yang mencuri kurang dari harga sebuah perisai dan sebuah perisai kulit, sedangkan kedua-duanya berharga

Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah memotong tangan seorang yang mencuri sebuah perisai yang bernilai sebanyak tiga Dirham

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah melaknati seorang pencuri yang mencuri telur maka dipotong tangannya, kemudian dia mencuri tali lalu dipotong tangannya


Memotong Tangan Pencuri Samada Orang Yang Mulia Ataupun Tidak Serta Tegahan Memohon Syafaat (Keringanan) Dalam Hukuman Hudud
Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Sesungguhnya kaum Quraisy merasa bingung dengan masalah seorang wanita dari kabilah Makhzumiah yang telah mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang akan memberitahu masalah ini kepada Rasulullah s.a.w? Dengan serentak mereka menjawab: Kami rasa hanya Usamah sahaja yang berani memberitahunya, kerana dia adalah kekasih Rasulullah s.a.w. Maka Usamah pun pergilah untuk memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jadi maksud kamu semua ialah untuk memohon syafaat terhadap salah satu dari hukum Allah? Kemudian Baginda berdiri dan berkhutbah: Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya


Hukuman Rejam Ke Atas Janda Yang Berzina

Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a:
Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad s.a.w dengan kebenaran dan telah menurunkan kepada baginda kitab Al-Quran. Di antara yang diturunkan kepada baginda ialah ayat yang menyentuh tentang hukuman rejam. Kami selalu membaca, menjaga dan memikirkan ayat tersebut. Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman rejam tersebut dan selepas baginda, kami pun melaksanakan juga hukuman itu. Pada akhir zaman aku merasa takut, akan ada orang yang akan mengatakan: Kami tidak menemukan hukuman rejam dalam kitab Allah iaitu Al-Quran sehingga mereka akan menjadi sesat kerana mereka meninggalkan salah satu kewajipan yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam kitab Allah itu mesti dilaksanakan ke atas penzina yang pernah berkahwin samada lelaki ataupun perempuan apabila terdapat bukti yang nyata, samada dia telah hamil ataupun dengan pengakuan darinya sendiri


Orang Yang Mengaku Dirinya Berzina

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Seorang lelaki dari kalangan orang Islam datang kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berada di masjid. Lelaki itu memanggil baginda s.a.w, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina, Rasulullah s.a.w berpaling darinya dan menghadapkan wajahnya ke arah lain. Lelaki itu berkata lagi kepada baginda, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina, sekali lagi Rasulullah s.a.w berpaling daripadanya. Perkara itu berlaku sebanyak empat kali. Apabila dia mengaku ke atas dirinya sampai empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w memanggilnya dan bersabda: Adakah kamu gila? Lelaki itu menjawab: Tidak, Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apakah kamu sudah berkahwin atau berumah-tangga? Lelaki itu menjawab: Ya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya: Bawalah dia pergi dan laksanakanlah hukuman rejam ke atas dirinya

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w bertanya kepada Maiz bin Malik. Apakah benar berita yang sampai kepadaku mengenai dirimu itu? Beliau bertanya pula kepada Rasulullah s.a.w, berita apakah itu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Aku mendengar bahawa kamu telah melakukan zina dengan seorang hamba perempuan si anu. Maiz bin Malik menjawab: Memang benar. Bahkan dia sendiri mengaku sampai empat kali, bahawa dia memang melakukan zina. Akhirnya Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dilaksanakan hukuman rejam ke atasnya

Hadis Abu Hurairah r.a dan Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki dari kabilah Al-A'rab datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Aku datang kepadamu supaya kamu memutuskan hukuman ke atasku berpandukan kitab Allah. Kemudian berkata pula seorang yang lain (yang menjadi lawannya) dia itu lebih banyak ilmu darinya. Baiklah, hukumlah antara kami berdasarkan Kitab Allah, wahai Rasulullah! Sekarang izinkanlah aku untuk menjelaskannya kepadamu. Rasulullah s.a.w bersabda: Katakanlah. Dia pun bercerita: Sesungguhnya anakku telah menjadi pelayan orang ini, Suatu hari anakku telah melakukan zina dengan isterinya. Aku mendapat khabar bahawa anakku itu mesti dihukum rejam. Aku akan menebusnya dengan seratus ekor kambing dan seorang hamba perempuan. Ketika hal itu aku bertanyakan kepada salah seorang yang alim, aku diberitahu bahawa anakku itu hanya dikenakan hukuman sebanyak seratus kali rotan dan diasingkan selama setahun dan isteri orang inilah yang mesti dihukum rejam. Mendengar penjelasan itu, Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya aku akan memutuskan hukuman ke atas kamu berpandukan kitab Allah (Al-Quran). Seratus ekor kambing dan hamba perempuan tadi harus dikembalikan dan anakmu mesti dihukum rotan sebanyak seratus kali sebatan serta diasingkan selama setahun. Sekarang pergilah kepada isteri orang ini, wahai Unais! Jika dia mengaku, maka jatuhkanlah hukuman rejam ke atasnya. Maka Unais pun datang menemui wanita tersebut dan ternyata dia mengakui atas perbuatannya itu. Maka sesuai dengan perintah dari Rasulullah s.a.w maka wanita itupun dijatuhkan hukuman rejam


Hukuman Rejam Ke Atas Orang Yahudi Dan Kafir Zimmi Yang Melakukan Perbuatan Zina

Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Sesungguhnya pernah suatu ketika dua orang Yahudi lelaki dan perempuan yang berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w berangkat menemui orang-orang Yahudi lalu bertanya: Apakah hukuman ke atas orang yang melakukan zina sebagaimana yang terkandung di dalam kitab Taurat? Mereka menjawab: Kami akan mencontengkan muka mereka dengan warna hitam, dan menaikkannya di atas kenderaan dalam keadaan beriringan, kemudian kami membawa mereka mengelilingi jalan. Selanjutnya baginda berkata: Datangkanlah kitab Taurat itu sekiranya kamu berlaku jujur. Kemudian mereka mengambil kitab Taurat dan membacanya. Ketika bacaan mereka sampai pada ayat rejam, tiba-tiba dia meletakkan tangannya di atas ayat tersebut dan dia hanya membaca ayat yang sebelum dan selepasnya. Abdullah bin Salam yang turut bersama Rasulullah s.a.w pada waktu itu berkata kepada beliau: Perintahkanlah dia supaya mengangkat tangannya. Pemuda tadi lalu mengangkat tangannya. Dan ternyata ayat yang ditutupinya itu ialah ayat rejam. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan agar kedua orang yang berzina tadi dihukum rejam. Lalu hukuman itupun dilaksanakan. Abdullah bin Umar berkata lagi: Aku adalah termasuk daripada mereka yang ikut merejam mereka. Dan aku melihat lelaki tersebut berusaha mengelak dari rejaman batu itu

Hadis Abdullah bin Abi Aufa r.a:
Diriwayatkan daripada Syaibani r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin Abi Aufaa: Adakah Rasulullah s.a.w pernah melakukan hukuman rejam? Dia menjawab: Ya. Aku bertanyakan hal itu samada selepas turunnya surah An-Nur atau sebelumnya? Dia menjawab: Aku tidak mengetahuinya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang hamba perempuan milik salah seorang di antara kamu melakukan perbuatan zina dan telah terbukti, maka hukumlah dia dengan merotannya dan janganlah kamu memakinya. Jika dia mengulanginya lagi perbuatan zina itu, maka rotanlah dia dan janganlah kamu memakinya. Dan jika dia mengulanginya lagi buat kali ketiganya dan terbukti, maka jualah dia walaupun dengan harga sehelai rambut


Hukuman Arak

Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki yang meminum arak telah dihadapkan kepada Nabi s.a.w kemudian baginda telah memukulnya dengan dua pelepah kurma sebanyak empat puluh kali


Kadar Sebatan Dalam Hukuman Takzir

Hadis Abu Burdah Al-Ansariy r.a:
Beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Seseorang tidak akan didenda lebih dari sepuluh kali sebatan kecuali hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah


Hukuman Itu Merupakan Kifarat Terhadap Orang Yang Berkenaan

Hadis Ubadah bin As-Somit r.a katanya:
Ketika aku bersama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu majlis. Baginda bersabda: Seharusnya kamu membuat pengakuan kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain juga kamu tidak akan melakukan zina, mencuri dan tidak akan membunuh orang yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Sesiapa di antara kamu yang mematuhinya maka akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Sesiapa yang terlanjur melakukannya maka dia akan mendapat hukuman yang merupakan kifarat baginya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya tetapi Allah telah menutupinya, maka itu adalah urusan Allah. Jika Allah mahu memberi keampunan kepadanya sudah pasti Allah akan mengampuninya. Tetapi jika Allah mahu menyeksanya, maka sudah pasti Allah akan menyeksanya


Terluka Kerana Binatang Atau Kerana Bahan Galian Atau Kerana Terjatuh Ke Dalam Perigi Maka Tidak Ada Tuntutan Ganti rugi
Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang yang terluka disebabkan binatang maka tidak ada tuntutan ganti-rugi dan orang yang tercedera atau mati kerana terjatuh ke dalam perigi juga tidak ada tuntutan ganti-ruginya juga orang yang terluka atau mati kerana bahan-bahan galian juga tidak ada tuntutan ganti-rugi. Manakala dikenakan zakat pada harta rikaz itu sebanyak satu perlima

No comments:

Post a Comment