Saturday, 7 January 2012

TENTANG JUMAAT



Sesiapa di kalangan kamu hendak mendirikan sembahyang Jumaat, maka dia dikehendaki mandi

Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa di kalangan kamu hendak mendirikan sembahyang Jumaat, maka dia dikehendaki mandi

Hadis Umar bin Al-Khattab r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memerintahkan supaya mandi

Hadis Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila seseorang dari kamu hendak menghadiri sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi


Kewajipan Mandi Pada Hari Jumaat Kepada Setiap Kaum Lelaki Yang Baligh Dan Menerangkan Apa Yang Diperintahkan Kepada Mereka

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Mandi pada hari Jumaat itu adalah wajib atas setiap orang yang sudah baligh

Hadis Aisyah r.a katanya:
Kaum Muslimin berduyun-duyun datang menghadiri sembahyang Jumaat dari rumah-rumah mereka di sekitar Madinah. Mereka datang memakai bau-bauan dan celak sehingga keluarlah bau harum dari tubuh mereka. Lalu beberapa orang di antara mereka datang kepada Rasulullah s.a.w yang sedang berada dekatku. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Alangkah eloknya kalau kamu mandi untuk meneruskan hari kamu ini!


Memakai Wangian Dan Bersugi Pada Hari Jumaat

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Aku telah menuturkan sabda Nabi s.a.w mengenai masalah mandi pada hari Jumaat

Hadis Abu Hurairah r.a:
Daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda s.a.w telah bersabda: Hak untuk Allah yang harus dipenuhi oleh setiap muslim, bahawa dia hendaklah membersihkan diri iaitu mandi pada setiap tujuh hari serta membasuh kepala dan tubuhnya

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi hadas besar, kemudian berangkat ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta dan sesiapa berangkat pada kesempatan kedua, maka dia seolah-olah telah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing kibas. Sesiapa berangkat pada kesempatan keempat, seolah-olah telah menyembelih seekor ayam dan sesiapa berangkat pada kesempatan kelima, seolah-olah dia memberikan sedekah sebiji telur. Apabila imam iaitu khatib telah keluar, Malaikat-malaikat pun hadir mendengar zikir. Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid


Diam Atau Tidak Bersuara Sewaktu Mendengar Khutbah Jumaat

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila engkau berkata kepada temanmu, diamlah! pada hari Jumaat. Padahal imam sedang berkhutbah, maka kamu benar-benar telah melakukan satu perkara yang sia-sia iaitu lalai


Tentang Saat Yang Terdapat Pada Hari Jumaat

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu


Hidayat Petunjuk Umat Ini Pada Hari Jumaat

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Kita adalah orang-orang yang terakhir dan kita jugalah orang-orang yang mendahului umat manusia pada Hari Kiamat. Setiap umat dikurniakan Kitab sebelum kita. Kemudian kita pula diberi kitab sesudah mereka. Oleh itu, inilah hari yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Allah memberi petunjuk kepada kita pada hari tersebut. Umat-umat lain akan mengikuti kita pada hari itu, kaum Yahudi esok dan kaum Nasrani lusa


Sembahyang Jumaat Ketika Matahari Mula Gelincir

Hadis Sahl r.a katanya:
Kami tidak pernah tidur atau makan pada waktu siang kecuali sesudah melakukan sembahyang Jumaat

Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a katanya:
Biasanya kami berkumpul mendirikan sembahyang Jumaat bersama Rasulullah s.a.w ketika matahari telah tergelincir ke arah barat, kemudian pulang dengan mencari tempat yang teduh


Memperkatakan Dua Khutbah Sebelum Sembahyang Dan Duduk Di Antara Dua Khutbah

Hadis Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w selalu berkhutbah pada hari Jumaat dengan berdiri, kemudian baginda duduk lalu berdiri lagi sebagaimana dilakukan sekarang ini

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Nabi s.a.w sedang berkhutbah dengan berdiri pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu kafilah dari Syam, maka orang ramai berkejaran keluar menuju ke arah kafilah tersebut sehingga yang tinggal di dalam masjid hanya dua belas orang lelaki, maka turunlah ayat ,
Yang bermaksud: Apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka meninggalkannya untuk menuju kepadanya dan meninggalkan kamu yang sedang berdiri berkhutbah


Meringan ringankan Sembahyang Dan Khutbah

Hadis Ya'la bin Ummaiyyah r.a:
Diriwayatkan daripada Safuan bin Ya'la daripada ayahnya katanya: Aku telah mendengar Nabi s.a.w membaca ayat Al-Quran di atas mimbar ..Yang bermaksud: Dan mereka menyeru: Wahai Malik!


Sembahyang Tahiyat Masjid Ketika lmam Sedang Berkhutbah

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah!


Ayat Yang Dibaca Pada Hari Jumaat

Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Ketika sembahyang Subuh pada hari Jumaat biasanya baginda membaca الم تَنْزِيْلُ dan هَلْ أَتَى


Sembahyang Sesudah Sembahyang Jumaat

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a:
Sesungguhnya apabila selesai mendirikan sembahyang Jumaat, beliau terus pulang dan mendirikan sembahyang dua rakaat di rumah kemudian dia berkata: Suatu ketika dahulu Rasulullah s.a.w juga berbuat begitu

No comments:

Post a Comment