Menyegerakan Pengurusan Jenazah
Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu)
Kelebihan Sembahyang Jenazah Dan Mengiringinya
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung
Hadis Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud
Tentang Orang Mati Yang Dipuji Dengan Kebaikan Atau Dicela Dengan Keburukan
Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Ketika satu jenazah diiringi, orang ramai memuji jenazah tersebut sebagai orang baik iaitu semasa hidupnya, maka Nabi s.a.w pun bersabda mengenainya: Wajib, wajib, wajib. Lalu datang pula iringan jenazah yang kedua, orang ramai mengutuk mengenai jenazah tersebut sebagai orang yang jahat semasa hidupnya. Nabi s.a.w pun bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ketika jenazah pertama diiringi, orang ramai memujinya sebagai orang baik, lalu kamu berkata: Wajib, wajib, wajib. Kemudian ketika jenazah kedua diiringi, orang ramai mengutuknya sebagai orang yang jahat, kamu juga berkata: Wajib, wajib, wajib. Apa ertinya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka diwajibkan kepadanya Syurga. Sedangkan orang yang kamu katakan sebagai orang yang jahat, maka diwajibkan kepadanya Neraka. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi
Mengenai Orang Yang Berehat Dan Yang Direhatkan Darinya
Hadis Abu Qatadah bin Rib'ie r.a:
Satu usungan jenazah melintasi Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah erti yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang beriman itu berehat dari kepenatan dunia. Sedangkan hamba yang buruk kelakuannya, dapat merehatkan para hamba, negara, pokok-pokok dan haiwan iaitu semua merasa tenteram dari kejahatannya
Takbir Dalam Sembahyang Jenazah
Hadis Abu Hurairah r.a:
Bahawa Rasulullah s.a.w mengumumkan kepada orang-ramai mengenai kemangkatan Raja Najasyi, kemudian baginda keluar menuju ke tempat sembahyang bersama kaum Muslimin dan mendirikan sembahyang jenazah dengan bertakbir sebanyak empat kali
Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Bahawa Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang ke atas jenazah Asamah An-Najasyi, Baginda bertakbir sebanyak empat kali
Sembahyang Di Atas Kubur
Hadis Abdullah bin Abbas r.a:
Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang jenazah di atas kubur, selepas jenazah itu dikebumikan. Baginda mengangkat takbir sebanyak empat kali
Hadis Abu Hurairah r.a:
Bahawa ada seorang perempuan berkulit hitam atau seorang pemuda yang selalu membersihkan masjid. Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w merasai ketiadaannya iaitu tidak menemuinya. Lalu baginda bertanya mengenainya. Para sahabat menjawab: Dia telah meninggal dunia. Rasulullah s.a.w menegur: Kenapa kamu tidak memberitahuku? Para sahabat menjawab: Kami menganggap ianya adalah urusan kecil sahaja. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Tunjukkanlah kuburnya kepadaku. Maka mereka menunjukkannya kepada baginda. Baginda mendirikan sembahyang di atas kuburnya dan setelah itu bersabda: Sesungguhnya kubur itu penuh dengan kegelapan bagi penghuninya dan Allah s.w.t meneranginya dengan sebab sembahyangku ke atas mereka
Berdiri Kerana Jenazah
Hadis Amir bin Rabi'ah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melihat jenazah diusung, maka berdirilah kerananya sehinggalah jenazah tersebut diusung jauh dari kamu atau sehingga jenazah tersebut diletakkan di dalam kubur
Hadis Abu Said r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu sekalian mengiringi jenazah, maka janganlah kamu duduk sebelum jenazah itu dikebumikan
Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Ada jenazah diusung berhampiran kami, lalu Rasulullah s.a.w berdiri kerananya. Kamipun turut berdiri bersama-sama baginda. Kemudian kami berkata: Wahai Rasulullah! Itu jenazah seorang perempuan Yahudi. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kematian itu adalah satu hal yang menggentarkan. Oleh itu apabila kamu melihat jenazah maka berdirilah!
Hadis Qais bin Saad r.a:
Diriwayatkan daripada Ibnu Abu Laila r.a katanya: Bahawa Qais bin Saad dan Sahl bin Hunaif r.a sedang berada di Qadisiyah. Tiba-tiba jenazah diusung berhampiran mereka, maka mereka pun berdiri. Lalu dikatakan kepada mereka berdua: Jenazah itu adalah dari penduduk tempatan iaitu orang kafir. Mereka berdua berkata: Pernah suatu ketika, Rasulullah s.a.w didatangi jenazah. Lalu Baginda berdiri. Ketika diberitahu kepada baginda bahawa: Itu adalah jenazah orang Yahudi. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Bukankah dia juga manusia?
Di Manakah Tempat Imam Berdiri Ketika Melakukan Sembahyang Jenazah
Hadis Samurah bin Jundub r.a katanya:
Aku sembahyang di belakang (berimamkan) Nabi s.a.w dan baginda mendirikan sembahyang ke atas jenazah Ummu Kaab r.a yang meninggal dunia dalam keadaan nifas. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang ke atas jenazahnya secara berdiri di tengah-tengahnya
No comments:
Post a Comment